Batu Kawan Bersedia untuk Terus Berkembang, Kata Ketua Menteri Chow

Kemas kini terkini

Batu Kawan Bersedia untuk Terus Berkembang, Kata Ketua Menteri Chow

Dalam tempoh 10 tahun lalu, Batu Kawan mengalami pertumbuhan perindustrian yang pesat, sekali gus menyediakan banyak peluang untuk pembangunan komersial dan pembangunan lain di perbandaran ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata demikian ketika menghadiri majlis pembukaan Galeri Jualan A-Park@Batu Kawan di Bandar Cassia, Batu Kawan, hari ini.

“Ketika kita berdiri di sini hari ini, kita menyaksikan kemuncak usaha keras, dedikasi dan kepimpinan berwawasan selama bertahun-tahun.

“A-Park @ Batu Kawan bukan sekadar ruang fizikal, malah simbol komitmen bersama kita terhadap kemajuan, inovasi dan pembangunan mampan, khususnya di Batu Kawan.

“Perjalanan Batu Kawan ditandai dengan daya tahan, inovasi dan keazaman yang tidak berbelah bahagi.

“Perjalanan ini mencerminkan semangat kemajuan ekonomi dan kekayaan budaya Pulau Pinang, serta menjadi bukti keupayaan kita mengatasi cabaran dan merebut peluang,” kata Chow.

Beliau menambah bahawa pembukaan jambatan kedua memainkan peranan penting dalam menghubungkan kejiranan Batu Kawan.

Chow turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai agensi negeri dan Persekutuan atas sumbangan mereka dalam membawa pelaburan ke Pulau Pinang.

Beliau menyatakan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke atas kelulusan Kerajaan Persekutuan terhadap pelan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) serta projek LRT.

Chow turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan bimbingannya yang tidak ternilai semasa pelancaran Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) pada bulan lalu.

“Hal ini mengesahkan semula pentingnya sumbangan Pulau Pinang kepada kemakmuran ekonomi negara.

“Kita juga mempunyai tanah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh lima tahun akan datang,” tambah Chow.

Chow turut berkongsi keyakinan dan harapannya terhadap masa depan pembangunan A-Park@Batu Kawan.

Difahamkan bahawa A-Park menyediakan 50 unit Kilang Perindustrian Ringan, yang membolehkan syarikat bekerjasama dan mendapat manfaat daripada sinergi dengan pelanggan serta pembekal.

Pada majlis itu, turut berlangsung upacara menandatangani memorandum antara Ancubic Group dan Persatuan ESG Malaysia.

Ancubic Group diwakili Datin Kimilee You, pengarah eksekutif Ancubic Group of Companies, manakala ESG diwakili Prof Cheah Kok Hoong.