[Berita Harian] Rosedale Pacu Pembangunan Bandar Botanik

Kemas kini terkini

[Berita Harian] Rosedale Pacu Pembangunan Bandar Botanik

KLANG: Ancubic Group merasmikan pembukaan Galeri Hartanah Rosedale di Bandar Botanic, Klang, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha kawasan itu berkembang sebagai bandar moden dan bersepadu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan turut dihadiri Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain, wakil kerajaan, pemain industri hartanah, pelabur serta wakil media.

Menurut Anthony, pembangunan Rosedale selari dengan aspirasi kerajaan Persekutuan dan negeri untuk merealisasikan bandar yang mampan, berdaya huni dan berorientasikan pengangkutan awam.

“Lokasinya yang strategik berhampiran lebuh raya utama dan stesen LRT 3 Bukit Tinggi yang akan datang menjadikan Rosedale model Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), sekali gus meningkatkan kebolehcapaian serta nilai jangka panjang hartanah,” katanya.

Sementara itu, Abd Hamid berkata pembangunan bandar masa kini perlu menitikberatkan kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi yang seimbang.

Menurut beliau, Rosedale yang menggabungkan komponen kediaman, komersial dan kemudahan bandar dijangka merangsang aktiviti ekonomi setempat serta mewujudkan peluang perniagaan baharu di Klang.

Bukan sekadar pembangunan fizikal

Pengarah Eksekutif Ancubic Group Datin Kimilee You berkata Rosedale dirancang sebagai hab bandar yang menghubungkan kehidupan komuniti, pengangkutan dan aktiviti komersial secara menyeluruh.

“Rosedale bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya menawarkan nilai jangka panjang kepada bandar dan pulangan mampan kepada pelabur melalui perancangan teliti serta kemudahan menyeluruh,” katanya.

Terletak di tengah-tengah Bandar Botanic, Rosedale menawarkan pembangunan bersepadu yang merangkumi kediaman, runcit, pejabat dan ruang riadah, disokong penyertaan perniagaan utama seperti Jaya Grocer.

Dibuka kepada orang awam

Pada majlis yang sama, Ancubic memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Jaya Grocer dan Hock Kee bagi pembangunan Rosedale, selain dengan Rinjin Shokudo dan Fruit Addicts untuk Ancubic PickleClub di Ancubic Harmoni. Perkongsian itu sekali gus memperkukuh penawaran gaya hidup dan komersial kepada komuniti setempat.

Galeri Hartanah Rosedale kini dibuka kepada orang awam. Galeri itu menampilkan unit contoh, zon pengalaman rumah pintar dan ruang interaktif untuk memberi gambaran jelas tentang perancangan komuniti serta potensi pelaburan projek berkenaan.

Orang ramai dan pelabur yang berminat boleh mengunjungi galeri itu atau mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang www.ancubic.com.