Majlis pembukaan Mydin Mart

Kemas kini terkini

Majlis pembukaan Mydin Mart

SHAH ALAM: Tri Shaas Sdn Bhd membuka pasar raya francais Mydin Mart yang baharu di Padang Jawa, Seksyen 16, dengan pelaburan sebanyak RM6 juta.

Pengarah Eksekutifnya, Shaakir Siraj, berkata Mydin Mart mula beroperasi di dua tingkat bangunan Suria Jaya, meliputi premis seluas 1,554.8 meter persegi.

Beliau berkata lokasi strategik yang berhampiran kawasan kediaman itu menyokong prospek cawangan tersebut, di samping menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Mydin kini mempunyai 323 cawangan di bawah 11 konsep perniagaan, dengan Kedai Rakyat 1Malaysia merangkumi bahagian terbesar, iaitu 178 premis. Cawangan Padang Jawa ini merupakan Mydin Mart yang kelima selepas Johor Bahru, Nilai, Shah Alam dan Seri Muda,” katanya pada sidang media sempena pembukaan Mydin Mart Padang Jawa.

Shaakir berkata premis baharu itu diwujudkan dengan mengambil kira faktor sosioekonomi dan demografi masyarakat setempat. Dengan konsep harga borong dan slogan “Mengapa bayar lebih? Belilah pada harga borong!”, cawangan itu memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan pada harga borong atau pukal.

“Mydin Mart Padang Jawa menggalakkan organisasi kerajaan, organisasi sektor swasta dan individu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana kami menawarkan harga borong.

“Dengan Ramadan yang semakin hampir, penduduk boleh membuat pembelian pukal yang menjimatkan di sini,” katanya.